NORWICH CITY 2 CHELSEA 3

Tammy Abraham memberikan Frank Lampard kemenangan pertama selaku pengurus dalam Liga Perdana Inggeris dengan dua jaringannya memastikan Chelsea meraih kemenangan 3-2 ke atas Norwich City, sebentar tadi.


Penyerang yang diberikan kepercayaan semula itu membuka jaringan di Carrow Road dengan menghasilkan gol pantas pada minit ketiga sebelum menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-68.

Todd Cantwell memberikan respons selepas 156 saat susulan jaringan pertama Abraham untuk menyamakan kedudukan sambil jaringan Mason Mount dan Teemu Pukki memastikan empat gol terhasil dalam babak pertama untuk kedua-dua pasukan terikat 2-2.

Abraham menggantikan Olivier Giroud dalam kesebelasan utama Chelsea dan segera menghasilkan gol selepas menyudahkan hantaran lintang Cesar Azpilicueta dengan separa voli tepat.

Pendahuluan itu, bagaimanapun, hanya bertahan kurang daripada tiga minit.

Emiliano Buendia meloloskan diri daripada kawalan pertahanan lawan sebelum bergandingan dengan Pukki untuk menghaslkan hantaran yang disudahkan Cantwell dari jarak dekat.

Abraham meraikan jaringannya dengan Lampard dan pengurus itu memperoleh kepuasan berganda apabila pemain tengah, Mount, membelah pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan leret bagi menghasilkan jaringan dalam dua perlawanan berturut-turut.

Namun, tuan rumah jelas tidak terjejas dengan jaringan itu apabila Pukki menghasilkan penyudah bijak dari sudut sukar untuk menghukum kelalaian Andreas Christensen dalam membina perangkap ofsaid pada 15 minit terakhir babak pertama.

The Blues mula mempamerkan penguasaan mereka dalam babak berikutnya dan berkemungkinan berhasil menambah jaringan andai percubaan Emerson Palmieri tidak diselamatkan Tim Krul.

Tugasan untuk memastikan tiga mata Chelsea jelas dipikul oleh graduan akademi mereka apabila Abraham meloloskan diri untuk melakukan serangan balas pantas sambil menewaskan dua pertahanan lawan.

Ben Godfrey memberikan penyerang berusia 21 tahun itu terlalu banyak ruang untuk menjaringkan gol kemenangan Chelsea.