MAN CITY 8 WATFORD 0

Wira Hatrik Manchester City, Bernardo Silva, menyifatkan 30 minit pertama perlawanan ketika mengatasi Watford 8-0 sebagai persembahan yang "luar biasa".


Selepas mengalami kekalahan mengejut kepada Norwich City minggu lalu, skuad kendalian Pep Guardiola itu kembali menemui rentak kemenangan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dengan penuh bergaya apabila memahat kemenangan terbesar dalam sejarah pasukan itu.

David Silva membuka jaringan seawal 52 saat sebelum sepakan penalti Sergio Aguero dan jaringan tambahan menerusi Riyad Mahrez, Bernardo Silva dan Nicolas Otamendi, sudah pun meletakkan City jauh mendahului dalam separuh masa pertama.

Silva menyempurnakan hatrik pertama kariernya dalam separuh masa kedua sebelum Kevin De Bruyne melengkapkan kemenangan dengan jaringan kelapan perlawanan lima minit sebelum perlawanan berakhir.

Pemain skuad kebangsaan Portugal itu terkesima dengan persembahan pasukannya dan mengakui bersimpati ke atas pemain-pemain Watford selepas perlawanan berakhir.

"Persembahan City dalam 30 minit pertama luar biasa, menjaringkan gol dan mengawal permainan," katanya kepada BBC Radio 5 Live. "Selepas tewas kepada Norwich, ini merupakan keputusan dan persembahan yang perlu diberikan semula kepada penyokong kami.

"Kami meletakkan sasaran untuk terus melakukannya dalam separuh masa kedua, kami berusaha untuk memastikan lawan gagal menjaringkan gol.

"Bola sepak adalah permainan yang sukar. Hari ini saya menang 8-0 tetapi telah banyak tewas dengan empat atau lima jaringan sebelum ini. Anda perlu terus melihat ke hadapan, jadi saya berharap pemain-pemain Watford tidak terkesan dengan kekalahan ini."

De Bruyne turut berada di prestasi menakjubkan dan Silva tidak meragui kualiti dimiliki pemain kebangsaan Belgium itu.

"De Bruyne seorang pemain yang berkualiti. Semua orang mengetahui kemampuannya ketika dia di tahap kecergasan yang tinggi. Ketika dia bermain hari ini, dia seperti pemain terbaik EPL."