Per Mertesacker akan bersara pada penghujung musim 2018 dan selepas itu akan memikul tugas sebagai pengurus baru akademi Arsenal, demikian pengesahan kelab itu.

Pemain pertahanan tengah yang menyertai The Gunners dari Werder Bremen pada 2011 menyatakan pada bulan lalu bahawa dia tidak berhasrat untuk menghabiskan baki kontraknya yang tinggal setahun.

"Ketua pasukan berusia 32 tahun itu akan kekal dalam skuad utama kendalian Arsene Wenger pada musim depan dan akan terus menjadi tunjang kepada skuad utama sambil menambah pengetahunnya mengenai akademi," menurut satu kenyataan Arsenal.

Pemenang Piala Dunia bersama Jerman itu akan mengambil alih peranan pengurus akademi daripada Luke Hobbs.

"Ini permulaan bab baru yang menyeronokkan buat saya dan saya berasa senang untuk kekal bersama keluarga Arsenal," katanya.

"Musim ini, saya akan memberi tumpuan penuh kepada tugasan saya bersama pasukan utama.

"Selepas itu, saya tidak sabar untuk cabaran baru dalam membentuk dan menghasilkan pemain muda yang mampu beraksi dalam skuad utama Arsenal."

Tambah Wenger pula: "Per merupakan karakter luar biasa yang menjadi contoh kepada pemain muda. Dia berfikiran jauh dan komited untuk membantu bakat-bakat muda dalam memenuhi potensi mereka.

"Dia akan menjadi watak inspirasi kepada sesiapa sahaja yang mempunyai kaitan di akademi."