Penyerang remaja negara, Siti Zulaikha Hussin, mahu memanfaatkan peluang sebaik-baiknya dalam saingan Jelajah Eropah untuk merebut slot 18 terbaik dalam skuad negara bagi menghadapi kejohanan pusingan akhir Siri Hoki FIH Wanita 2019.

Pemain berusia 18 tahun itu terpilih dalam senarai 20 pemain yang akan dibawa menjalani Jelajah Eropah bermula 25 Mei ini sebelum terbang ke Bandbridge, Ireland untuk mencari slot ke kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Zulaikha yang buat kali pertama tampil bersama skuad negara berharap diberi peluang untuk mengembangkan pengalamannya di peringkat dunia meskipun dia akur sukar untuk bersaing dengan pemain berpengalaman.

Bagaimanapun, dia bertekad akan berusaha bermati-matian untuk memikat hati ketua jurulatih, Dhaarma Raj Abdullah, walaupun terpaksa bersaing dengan beberapa tonggak The Tigress seperti Hanis Nadiah Onn, Nurhaslinda Said dan Nur Amirah Syakirah.

"Saya harap dapat berjuang dalam senarai 18 terakhir dan tunjukkan kebolehan di sana bagi membantu dalam kelayakan Olimpik. Memang sukar kerana mereka lebih berpengalaman dan ada yang telah beraksi di Eropah. Bagaimanapun, saya akan berikan yang terbaik," kata Siti Zulaikha.

Sementara itu, Zulaikha menjelaskan saiz badan yang kecil tidak menjadi masalah buatnya beraksi cemerlang, malah akan menggunakan kemampuan menggeleceknya untuk membantu Malaysia menempah slot automatik ke kelayakan Sukan Olimpik 2020.

"Bagi saya, tubuh kecil tiada masalah. Sebagai contoh adalah pemain senior lelaki, Faizal Saari. Dia masih dapat bantu skuad lelaki sehingga ke tahap sekarang."