Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat dalam Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia Wanita setelah tewas 0-2 kepada China dalam perlawanan penentuan ketiga dan keempat di Stadium Sunshine, Donghae, Korea Selatan, hari ini.

Dua gol China dijaringkan Song Xiaoming menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-14 sebelum dia menggandakan kedudukan menerusi gol padang pada minit ke-53, demikian menurut laman Facebook Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

Ia merupakan kekalahan kedua yang dialami skuad negara kendalian Muhammad Dhaarma Raj Abdullah yang tewas 1-3 kepada pasukan sama dalam pusingan awal kejohanan, beberapa hari lalu.

Mengulas mengenai perlawanan berkenaan, Dhaarma Raj mengakui pasukan China agak bergelut untuk menembusi benteng pertahanan negara, namun memuji barisan pemainnya yang memberikan saingan sengit kepada pasukan lawan.

“Secara keseluruhannya, saya berpuas hati dengan persembahan pemain dengan kedudukan keempat dalam kejohanan ini berbanding kedudukan terakhir, iaitu kelima pada edisi 2016.

“Barisan pemain menampilkan peningkatan dan keberanian berdepan dengan kebanyakan pasukan bertanding yang membawa pemain yang bakal beraksi dalam Piala Dunia Wanita 2018 di England, Julai ini, kecuali Jepun yang tidak membawa skuad utama mereka,“ jelas Dharma Raj.

Malaysia memulakan kempen kejohanan itu dengan dua kekalahan, tewas masing-masing dengan keputusan 1-3 kepada Korea Selatan dan China pada 13 dan 14 Mei, sebelum menundukkan Jepun 3-2, selang dua hari kemudian.

Mereka bagaimanapun tewas 2-3 kepada juara bertahan, India dalam perlawanan terakhir pusingan awal pada 17 Mei lalu.

Korea Selatan muncul juara edisi kali ini setelah mengatasi India 1-0 dalam final di venue yang sama.

-- BERNAMA