Tenaga Nasional Berhad (TNB) di bawah kendalian Mohd Amin Rahim berdepan tugas getir untuk berdepan pendahulu Liga Hoki Malaysia (LHM), Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), walaupun mereka menggalas reputasi sebagai 'pembunuh gergasi'.

TNB memiliki rekod baik menentang pasukan gergasi.

Mereka mengikat KLHC dan Terengganu Hockey Team (THT) dalam saingan awal liga, sekaligus dijangka mampu menjadi mimpi ngeri dalam aksi di Stadium Hoki Kuala Lumpur petang ini.

Mohd Amin berbangga dengan kemampuan pemainnya mengikat pasukan gergasi, namun menjangkakan tugas sukar bakal dihadapi mereka.

"Kami berjaya mengikat KLHC dalam perlawanan terdahulu ekoran mereka kehilangan Muhammad Razie Abdul Rahim dan Nabil Fiqri Mohammad Noor serta seorang lagi pemain import.

"Sehubungan itu, saya dah ingatkan pemain, usah ambil keputusan seri itu sebagai penanda aras untuk aksi petang ini.

"Pastinya KLHC akan bermain lebih baik dengan kehadiran Razie dan Nabil.

"Saya akan pastikan pemain terus fokus atau sekurang-kurangnya dapat mencuri satu mata," kata Mohd Amin.

Dengan saingan musim ini berbaki tiga perlawanan, KLHC mengungguli takhta liga dengan 29 mata, dua mata mengatasi pencabar terdekat THT.

Jika seri, kedudukan KLHC akan tergugat kerana THT yang memiliki kelebihan perbezaan jaringan, dijangka tiada masalah untuk menewaskan pasukan tangga keenam, TNB Thunderbolt.