Jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, menjelaskan tiada slot istimewa buat pemain bintang dalam pasukannya untuk menyarung jersi Malaysia dengan menegaskan mereka masih perlu berusaha keras seperti mana pelatih lain.

Skuad hoki remaja dalam persiapan menghadapi Jelajah Belgium pada Julai ini dan seterusnya beraksi dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor pada Oktober nanti.

Justeru, Nor Saiful sedang merangka persiapan rapi dan akan memanggil seramai 30 pemain untuk melaporkan diri bagi sesi latihan pusat pada 4 Jun ini.

Selain itu, dia juga akan memanggil beberapa pemain berusia 23 tahun untuk memantapkan pasukannya.

"Perlawanan ini perlu diambil kira sebagai medan menimba pengalaman sebagai persiapan awal untuk menghadapi kelayakan Piala Dunia 2020 tahun depan," kata jurulatih itu.

Dalam masa sama, Nor Saiful berkata tiada jaminan tempat untuk beberapa pemain berstatus bintang bagi skuad kebangsaan kali ini.

Meskipun mereka mempunyai kemahiran tinggi di dalam padang, namun mereka perlu membuktikan kredibiliti mereka ketika sesi latihan selain mempunyai tahap disiplin yang baik untuk menjadi sebahagian daripada skuad negara.

"Kita perlukan ramai pemain kerana dalam proses skuad remaja ini, pemain akan datang dan pergi.

"Kami akan terus menilai sama ada mereka boleh beraksi di peringkat antarabangsa atau tidak. Kami akan terus mengkaji kekuatan dan kelemahan mereka melalui proses saringan," katanya lagi.