Presiden Persatuan Hoki Terengganu (PHT), Datuk Wan Ahmad Nizam Wan Abdul Hamid, menjadikan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dan Maybank sebagai pencabar terdekat negeri itu menjelang Liga Hoki Malaysia (MHL-TNB) 2017 yang membuka tirainya, esok.

“Tahniah diucapkan kepada pemain dan pihak pengurusan Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang telah membawa pulang Piala Tan Sri P. Alagendra selepas gagal dalam percubaan tahun lalu.

“Kami masih ada tiga kejuaraan untuk direbut dan saya mahu pasukan ini mengekalkan kejuaraan liga, Piala TNB dan merampas kembali Piala Sumbangsih dalam pertemuan menentang KLHC di gelanggang sendiri, esok.

“Dalam masa yang sama, kami tidak boleh memandang rendah pasukan lain kerana masing-masing mempunyai kesungguhan dan persiapan yang rapi.

“KLHC sudah tentu berazam untuk menyekat penguasaan kami manakala Maybank dibarisi pemain-pemain import yang hebat, jadi ini adalah dua pasukan yang mampu memberi saingan kepada THT, musim ini.

“Selain itu, buat pertama kali kami turut menghantar pasukan wanita untuk memberi saingan dalam kategori wanita dan saya berharap mereka mampu melakar kejayaan sebagaimana pasukan lelaki,” ujarnya.

Nada sama turut disuarakan ketua jurulatih THT, Sarjit Singh, yang tidak mahu anak-anak buahnya mengambil mudah cabaran pasukan lain meskipun menewaskan dua pasukan itu dalam saingan kalah mati Piala Tan Sri P. Alagendra.

“Persiapan awal yang rapi membawa kepada permulaan cemerlang THT. Namun, bergelar juara bukan jaminan untuk kami berada dalam keadaan selesa, sebaliknya perlu mengekalkan prestasi dan momentum positif ini.

“Pasukan ini mengharungi lima perlawanan dalam tempoh seminggu dan pemain perlu melalui proses pemulihan kerana mereka dalam keadaan letih, jadi bertemu KLHC pada Jumaat (esok) adalah satu tugas sukar.

“Pakar sudut penalti, Jang Jonghyun, akan sekali lagi menggalas harapan THT bersama pemain-pemain berkaliber seperti Faizal Saari, Fitri Saari, Tengku Ahmad Tajuddin, Firhan Ashaari, Azlan Misron dan ramai lagi,” tambah Sarjit.