Ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, menuntut pemain terbaiknya untuk mempertahankan gelaran juara pusingan kedua Liga Hoki Dunia 2016-2017 di Trinidad & Tobago, Mac depan, selepas Malaysia diletakkan sebagai pilihan utama.

Undian pusingan kedua Liga Dunia di Tacarigua, Trinidad & Tobago, itu menyaksikan Malaysia akan turun bersaing dalam Kumpulan A di samping Amerika Syarikat (AS), Chile dan Barbados.

Kumpulan B pula membabitkan Jepun, Russia, Switzerland dan negara tuan rumah.

Antara pasukan bertanding, The Malaysian Hockey Tigers berada di ranking ke-14 dunia dan menjadi pilihan utama, terutama selepas muncul juara kejohanan sama di Singapura, dua tahun lalu.

"Kami sudah lama tidak bertemu AS dan kami perlu mendapatkan rakaman perlawanan mereka bagi mengkaji permainan dan situasi semasa mereka tapi cara mereka kami dah tahu.

"Kemudian, kami akan bertemu Chile sebelum menentang Barbados.

"Tiga perlawanan peringkat kumpulan ini akan memberi kami peluang membuat persiapan menghadapi peringkat suku dan separuh akhir.

"Harap-harap kami dapat mara ke final," katanya.

Pemain kebangsaan kini terikat dengan kelab-kelab Liga Hoki Malaysia (LHM) yang tamat pada 26 Februari depan.

Ini bermakna mereka mempunyai tempoh kurang sebulan untuk berlatih sebelum berangkat ke Tacarigua.

Malah, pemain-pemain utama seperti Muhammad Razie Abd Rahim dan Nabil Fiqri Mohd Noor tidak dapat turut serta kerana masih terikat dengan kursus latihan asas inspektor polis.

Pemain tengah, Mohd Marhan Abd Jalil, pula sedang berusaha mencapai prestasi terbaik selepas pulih kecederaan daripada kecederaan pergelangan kaki.

"Kami akan berkumpul selepas perlawanan terakhir liga, iaitu pada 26 haribulan. Kami mempunyai 19 hari sebelum terbang ke Trinidad & Tobago.

"Ini bukan kempen mudah buat kami kerana kesemua pasukan berhasrat mahu beraksi dalam Piala Dunia.

"Justeru, kami perlu bersedia daripada aspek seperti kecergasan, taktikal dan situasi bola mati."