Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, akan mengetuai jentera serangan Terengganu Hockey Team (THT), pada final Piala TNB menentang kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC), malam ini, selepas juara bertahan itu hilang khidmat dua penggempur utama.

THT tempang apabila Faizal Saari masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan hamstring sementara penyerang import, Valentine Verga sudah pun meninggalkan kem Terengganu untuk menyertai Liga Hoki Belanda.

Jadi tugas penggempur utama akan diserahkan kepada Tengku yang sudah meledak 13 gol musim ini.

Dia akan digandingkan bersama Firhan Ashaari sambil Ismail Abu diletakkan dalam situasi berjaga-jaga andai Faizal tidak dapat diturunkan malam ini.

"Matlamat utama kami adalah untuk memenangi Piala TNB dan mengekalkan status juara berganda walaupun tidak dapat menjulang piala liga tetapi kami masih ada satu lagi kejuaraan, Piala Tan Sri P. Alagendra," ujar Tengku.

Selain meledak gol padang, THT juga memiliki pakar pukulan sudut penalti, Jang Jong Hyun yang muncul penjaring terbanyak musim ini dengan 25 gol.

Setakat ini, THT paling banyak melakar jaringan dengan 69 gol termasuk di separuh akhir.

Sementara itu, di kem KLHC, tugas memburu gol akan diserahkan kepada penyerang import Jerman, Anton Ebeling.

Dia sudah mencatat 10 gol termasuk jaringan kemenangan ketika menewaskan THT, 3-2 minggu lalu untuk menjuarai Liga Hoki Malaysia.

"Perlawanan ini sangat penting kerana ini adalah aksi terakhir saya bersama KLHC. Jadi saya mahu menikmati saat beraksi bersama rakan sepasukan saya.

"Sudah tentu saya mahu pulang dengan kejuaraan," kata Ebeling.

Sementara itu, bekas kapten hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi memilih KLHC sebagai calon juara.

"Saya melihat kepada keseimbangan pasukan. KLHC memiliki sembilan pemain kebangsaan di samping beberapa pemain import. Mereka juga miliki pemain di bangku simpanan yang berkualiti.

"THT juga memiliki kesebelasa utama yang baik tetapi pemain di bangku simpanan tidak mampu menyokong kekuatan skuad utama. Mereka juga berdepan masalah kecederaan antaranya Faizal Saari, Jiwa Mohan dan Ismail Abu. Jadi itu menyebabkan pengendali, Sarjit Singh tidak memiliki pilihan yang banyak," jelasnya.