Pemburuan slot ke peringkat separuh akhir acara hoki wanita Sukan Malaysia (Sukma) 2018 akhirnya menjadi milik Terengganu selepas mereka membenam Sabah 2-1 untuk menjadi juara Kumpulan A.

Sabah sebelum itu hanya memerlukan keputusan seri untuk mengesahkan slot ke saingan separuh akhir apabila memimpin kumpulan dengan tujuh mata.

Terengganu pula perlu mencipta kemenangan kerana berkongsi mata dengan pasukan Kedah dengan mengutip empat mata.

Namun, usaha keras Terengganu hanya berhasil dalam suku kedua apabila Tuan Nur Hidayah Tuan Ismail memecah kebuntuan jaringan dengan meledak gol pada minit ke-30 untuk meletakkan Terengganu mendahului 1-0.

Gol itu terus menyemarakkan lagi semangat Terengganu untuk menambah jaringan dan ia terbukti pada minit ke 40, sekali lagi menerusi Tuan Nur Hidayah yang menyempurnakan peluang terhidang untuk memastikan Terengganu selesa dengan keputusan 2-0.

Sabah segera bangkit untuk merapatkan kedudukan. Berpunca daripada pukulan sudut penalti, Cyra Cynthia Anis meledak untuk menjadikan kedudukan 2-1.

Sabah cuba untuk mencari gol penyamaan bagi mencerahkan kembali peluang mereka, namun hampa setelah kedudukan itu kekal hingga ke wisel penamat.

"Kami beraksi dalam keadaan tertekan kerana hanya kemenangan memastikan kami mara ke separuh akhir," kata pemain Terengganu, Nur Asma Ahmad Kamil.

"Sabah telah beraksi dengan baik. Kami mahu mencipta kemenangan dalam perlawanan tetapi terpaksa turun beraksi tanpa beberapa tonggak utama pasukan. Saya berpuas hati dengan prestasi dan semangat yang ditampilkan pasukan," kata jurulatih Sabah, Mohd Shahrun Nabil.