Selepas membenam Pahang 5-2 dalam perlawanan pembukaan, skuad hoki wanita Wilayah Persekutuan terus garang dengan terbaru menjadikan pasukan tuan rumah, Perak mangsa belasahan apabila melakar kemenangan 4-1 dalam aksi pada Sukan Malaysia (SUKMA) ke-19 Perak, hari ini.

Atas kertas, Wilayah Persekutuan dilihat pasukan yang lebih mantap apabila dibarisi beberapa pemain skuad remaja dan utama kebangsaan.

Apatah lagi mereka hadir sebagai pemenang pingat gangsa ketika edisi di Sarawak dua tahun lalu.

Wilayah Persekutuan tidak menunggu lama apabila Qasidah Najwa Abdul Halimi meledak pada minit ke-13 menerusi pukulan penalti strok.

Tiga minit berselang, Nur Zafirah Aziz pula mencatat nama sebagai penjaring apabila mudah menewaskan benteng pertahanan Perak untuk gol kedua Wilayah Persekutuan.

Aksi di suku ketiga menyaksikan Qasidah Najwa menambah satu lagi gol untuk Wilayah Persekutuan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-32 untuk menjadikan kedudukan 3-0.

Nur Faten Nadhirah terus menambah sengsara tuan rumah dengan meledak gol keempat pada minti ke-42 sebelum tuan rumah akhirnya mendapat gol sagu hati pada minit akhir perlawanan menerusi Nur Anis Najwa.

"Kami memberikan tumpuan dalam setiap perlawanan dan berjaya meraih kemenangan," kata Zafirah.

"Perak menurunkan barisan yang muda dalam saingan kali ini," jurulatih Perak, Manjit Singh.