Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, tidak membenarkan pemain kebangsaan menyertai liga luar negara dalam tempoh enam bulan menjelang play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Daripada sesetengah pemain menyertai liga luar negara, saya lebih mengutamakan seluruh pasukan untuk beraksi di luar negara dan Jejalah Eropah merupakan satu perancangan yang terbaik untuk pasukan," katanya.

Subahan mahu semua pemain mengikuti program latihan skuad kebangsaan, termasuk Jelajah Eropah, selain menyertai dua kejohanan.

Ia juga bagi memastikan pemain sama-sama membuat persiapan terbaik berbanding menyertai kelab luar negara.

Berdasarkan laporan Ahad lalu, bekas pemain kebangsaan, S. Selvaraju, mencadangkan agar KHM memberikan pelepasan kepada pemain kebangsaan yang mendapat tawaran untuk beraksi di luar negara kerana tempoh persediaan yang lama.

Antara yang mendapat tawaran ialah pemain tengah, Fitri Saari, namun dia sudah menolak tawaran Liga Hoki Oman.

KHM juga tidak menutup pintu terhadap bekas pemain remaja negara, Mohd Hafiz Zainol, yang beraksi dalam Liga Australia sementara Abd Khaliq Hamirin dalam Liga Itali.

"Walaupun mereka tidak tersenarai dalam skuad negara, mereka mungkin mampu menghadirkan impak positif kepada pasukan," katanya lagi.