Datuk Seri Subahan Kamal memberi jaminan ahli gabungan yang menentangnya sepanjang kempen mesyuarat agung tahunan (AGM) tetap akan dilayan dengan baik selepas mempertahankan jawatan presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM).

AGM KHM berjalan lancar walaupun dihimpit pelbagai kontroversi.

Jawatan naib presiden menjadi tumpuan selepas presiden dan dua timbalannya menang tanpa bertanding.

Apa yang menarik, Subahan bersikap matang untuk melayan semua 16 ahli gabungan secara sama rata untuk tempoh hingga 2023 walaupun ada yang melontarkan pelbagai tuduhan terhadap badan induk itu sebelum AGM berkenaan.

"Kami sentiasa berhubung dengan pihak negeri, melihat bahagian yang boleh disokong. Saya sangat gembira mereka mengambil bahagian dalam mesyuarat ini," katanya.

Subahan dan lembaga eksekutif baru KHM berdepan cabaran untuk memastikan hoki bangkit daripada kegagalan ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 tatkala kemarau itu berpanjangan sejak edisi 2000 di Sydney.

Usaha itu mampu dicapai berdasarkan sokongan padu ahli gabungan menerusi kelancaran AGM itu.

"Sangat pantas, lancar dan tiada isu kerana tiga jawatan tertinggi tidak dicabar. Kami juga dipantau oleh pihak Majlis Sukan Negara (MSN) serta juruaudit bebas, jadi tiada masalah," ujar pegawai pemantau AGM KHM, Datuk T. Thavalingam.

Sementara itu, KHM dijangka memasuki era baru dengan kehadiran tujuh individu yang memegang jawatan ahli lembaga eksekutif buat kali pertama seperti Rogayah Mohamad, Hasnizam Hassan dan Datuk Seri Anil Jeet Singh.

Antara mereka guru dan pegawai pengiring pasukan kejohanan antarabangsa serta mereka antara yang aktif di peringkat akar umbi, sekali gus dilihat mampu memberi kesan besar terhadap program pembangunan.

"Kami tidak boleh memandang rendah kepada guru kerana pemain yang dilahirkan sekarang datang daripada peringkat sekolah rendah. Jangan lupa, daripada peringkat itulah mereka dibawa ke sekolah sukan sebelum menyarung jersi skuad negara," kata Rogayah.

"Menteri Belia dan Sukan juga memberi sokongan kepada Kelantan dalam sesi kali ini setelah kami banyak melahirkan atlet yang mewakili Malaysia. Inilah masanya untuk dipergunakan bagi mewujudkan stadium baru di Kelantan," tambah Hasnizam.

"Cita-cita saya memang mahu menaikkan hoki dalam dewan kerana Sabah di tengah-tengah, ada 12 atau 13 negara yang memiliki penerbangan terus ke sana. Jadi, memang saya bercadang untuk merancang kejohanan di peringkat antarabangsa di Sabah," ujar Anil Jeet.