"Bukan mustahil," itu pendirian bekas jurulatih Skuad Projek 2016, Muhammad Dharma Raj Abdullah, mengenai peluang Malaysia untuk melepasi cabaran kumpulan B, Piala Dunia Remaja di Lucknow, India, bermula 8 Disember ini walaupun diundi bersama pasukan pilihan.

Dharma mencipta sensasi apabila membawa skuad negara ke separuh akhir Piala Dunia Remaja 2013.

Kejayaan itu menyaksikan Skuad Projek 2013 dinobatkan pasukan terbaik dalam Anugerah Sukan Negara, sekali gus meletakkan penanda aras tinggi untuk kempen di Lucknow.

Memang sukar untuk skuad kendalian Wallace Tan mengulangi pencapaian tangga keempat kerana realitinya, Malaysia akan berdepan Belanda, Belgium dan Mesir.

"Jika mereka boleh menewaskan salah satu daripada pasukan gergasi itu, mereka akan mara ke penentuan tempat pertama hingga lapan. Dalam perlawanan penentuan itu nanti, macam-macam boleh berlaku. Mereka juga mungkin mendapat peluang untuk mengatasi Skuad Projek 2013," katanya.

Pencapaian skuad pembangunan negara berkenaan tidak begitu menyerlah apabila gagal menjuarai mana-mana kejohanan sejak ditubuhkan tahun lalu.

Mereka meraih tangga ke-11 Liga Australia sebelum menduduki tempat kelima dalam Piala Sultan Johor, bulan lalu.

Malah, skuad negara hanya mempunyai tempoh tujuh hari untuk membuat persiapan apabila dipilih menggantikan Pakistan ke Lucknow.

"Selepas mereka gagal untuk melayakkan diri secara merit, dan mendapat peluang selepas Pakistan menarik diri, ia sedikit sebanyak mengurangkan tekanan untuk mereka.

"Tiada sebarang sasaran yang diletakkan kepada mereka dan mereka tidak perlu risaukan apa-apa. Mereka tidak perlu toleh ke belakang dan hanya perlu terus memandang ke hadapan."