Presiden Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Datuk Seri Subahan Kamal, mengesahkan menerima pelawaan Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan bersedia menghantar barisan terbaik untuk bersaing dalam Piala Dunia Remaja 2016 di Lucknow, India, 8-18 Disember depan.
Subahan berkata, walaupun pelawaan diterima dalam tempoh singkat, ia tidak menjadi masalah untuk menghimpunkan barisan terbaik negara.
"Kalau soal persediaan itu, tidak timbul masalah kerana mereka sentiasa bermain atau menyertai kejohanan. Mereka sentiasa menyiapkan diri untuk apa-apa kemungkinan.
"Saya rasa ia tidak menjadi masalah langsung untuk mereka," kata Subahan selepas mesyuarat KHM, semalam.
KHM, bagaimanapun tidak meletakkan sasaran tinggi buat barisan negara yang akan akan beraksi nanti.
Sedar dengan kemampuan lawan yang lebih hebat, KHM mahu para pemain yang dipilih menggunakan kesempatan ini sebaiknya untuk dijadikan pengalaman berharga.
"Siapa tidak mahu bermain dalam Piala Dunia? Saya yakin, apabila mereka diberi peluang, mereka akan bermain dengan baik, menimba ilmu dan pengalaman yang cukup baik.
"Kalau boleh, pengalaman seperti ini kami tidak akan lepas. Saya harap Malaysia dapat membawa pulang keputusan yang baik," tambahnya.
Skuad muda negara akan bertolak ke India, 5 Disember sebelum memulakan saingan menentang Belanda dalam saingan kumpulan B pada 9 Disember. Kumpulan itu turut dihuni Mesir dan Belgium.
Piala Dunia Remaja edisi ke-11 menghimpunkan 16 pasukan terbaik dunia, antaranya Belanda, Australia dan Jerman.
Pencapaian terbaik skuad hoki remaja negara dalam Piala Dunia ialah menduduki tempat keempat sebanyak empat kali.