Timbalan Presiden Kanan, Konfederasi Hoki Malaysia (KHM), Profesor Datuk S. Shamala, tidak panik apabila hoki tidak terbabit dengan undian Sukan Asia di Jakarta, Indonesia, pada 5 Julai ini kerana ia akan mengikut format temasya empat tahun lalu.

Persekutuan Hoki Asia (AHF) mengekalkan format dua kumpulan yang menyaksikan pasukan dibahagikan mengikut ranking dunia.

Ini bermakna bagi acara lelaki, Malaysia tidak akan diundi bersama juara Asia, India, sementara skuad wanita yang kembali ke dalam kategori A, akan turun selaku pilihan kelima.

"Apa jua kedudukannya, kami perlu bersedia dan pasukan kebangsaan juga terbuka untuk menghadapi mana-mana pasukan.

"Secara keseluruhan, benua Asia bernasib baik kerana kewujudan banyak pasukan gergasi.

"Apa jua keputusan undian nanti, perbezaan kemampuan di antara kami dan pasukan (handalan) adalah tipis," kata Shamala.

Jawatankuasa Penganjuran Sukan Asia (INASGOC) akan mengadakan undian membabitkan lapan jenis sukan 5 Julai ini, iaitu bola sepak, bola keranjang lima lawan lima, bola baling, kabaddi, ragbi 7's, sepak takraw, bola tampar dan polo air.

Dalam masa sama, Shamala mengesahkan Skuad Projek 2020 terpaksa membatalkan penyertaan skuad negara dalam Kejohanan Hoki Jemputan Enam Negara di Antwerp, Belgium, bermula 14 Julai depan.

"Disebabkan keperluan berbelanja secara terbaik, jadi buat masa ini kami sedang mencari jalan lebih optimum (untuk membangunkan) pasukan remaja.

"Peruntukan itu nanti juga boleh difokuskan terhadap pertandingan tempatan dan perlawanan persahabatan," ujarnya lagi.