MALAYSIA 3 NEW ZEALAND 4

Skuad hoki negara turun menentang New Zealand dalam aksi persahabatan kedua yang berlangsung penuh dramatik di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.


Malaysia tewas 3-4 kepada pasukan ranking kesembilan dunia itu walaupun memaparkan aksi lebih baik dalam separuh masa pertama.

Tiga gol Malaysia yang dijaringkan Firhan Ashari, Fitri Saari dan Nabil Fikri Md Noor, belum cukup menafikan kemenangan kedua New Zealand dalam siri aksi persahabatan tersebut.

Malaysia ketinggalan selepas Muir George dan Aidan Sarikaya menjaringkan dua gol awal buat New Zealand.

Bagaimanapun, The Malaysian Hockey Tigers bangkit mengikat kedudukan menerusi jaringan Firhan dan Faizal.

Gol pukulan sudut penalti Kane Russel kembali meletakkan pelawat di depan, namun keputusan itu hanya bertahan seminit sebelum Nabil Fikri kembali mengikat kedudukan, juga menerusi gerakan sama.

Kesilapan pertahanan memberikan satu lagi pukulan sudut penalti jelas mengundang padah buat skuad negara.

Russel tidak melepaskan peluang itu untuk menjaringkan gol kemenangan New Zealand pada minit ke-51.

Perlawanan persahabatan terakhir di antara kedua-dua negara bakal berlangsung di venue yang sama, Khamis ini.