Kapten skuad hoki wanita negara, Siti Noor Amarina Ruhani, mengakui lega apabila pasukannya dapat berguru di Eropah untuk persiapan menghadapi Kejohanan Separuh Akhir Liga Hoki Wanita Dunia di Afrika Selatan, Julai ini.

Skuad hoki wanita negara muncul naib juara pusingan kedua Liga Hoki Wanita Dunia di Kuala Lumpur, Januari lalu.

Layak ke pusingan separuh akhir di Afrika Selatan, Amarina sebelum ini menegaskan mereka memerlukan pendedahan di Eropah untuk tampil sebagai pencabar.

Hasrat itu dimakbulkan apabila skuad negara akan mengadakan latihan dan beberapa aksi persahabatan di Jerman dan Belanda dalam tempoh 28 hari, mulai awal bulan depan.

"Semua perlawanan akan menguji kualiti permainan kami, saya berharap ia akan memberikan kami kelebihan bagi menghadapi Sukan SEA," kata Siti Noor Amarina.

"Saya berharap skuad dapat meraih pengalaman yang berharga ketika berdepan pasukan-pasukan elit Eropah," kata penolong pengendali pasukan kebangsaan, Lailin Abu Hassan.

Aksi separuh akhir Liga Hoki Wanita Dunia dijangka berakhir beberapa hari sebelum Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos depan.

Chef-de-mission negara, Datuk Marina Chin, yang meluangkan masa bersama skuad hoki wanita negara hari ini, bagaimanapun, tidak berasakan ia menjadi kekangan untuk anak buah Dhaarma Raj Abdullah melunaskan misi mempertahankan emas dalam temasya dwi-tahunan itu nanti.