Jurulatih Terengganu Hockey Team (THT), Sarjit Singh, tidak bersetuju dengan perancangan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) untuk menganjurkan Liga Hoki Malaysia (LHM) musim depan selama enam minggu kerana tidak cukup menghasilkan pulangan buat pasukan bertanding.

Sarjit berkata LHM sepatutnya diadakan sekurang-kurangnya untuk tempoh dua bulan bagi mengelak masalah timbul.

"Liga seharusnya berjalan sekurang-kurangnya dua bulan dan memastikan tiada pemain negara yang terlibat. Ini perlu terkejar-kejar dalam masa enam minggu, berlatih dan beraksi di Trinidad &Tobago (Liga Dunia Kedua).

"Jika berlaku masalah kecederaan bagaimana? Ini adalah penting buat kami untuk tahu bila seharusnya liga bermula. Saya tidak nampak mengapa kita perlu mengadakan saingan liga segera."

Tambah Sarjit, skuad negara perlu diberikan masa untuk menjalani latihan dan membuat persediaan khususnya untuk menghadapi pusingan kedua Liga Dunia di Trinidad & Tobago, 5 Mac hingga 2 April tahun depan.

"Kita patut beri masa buat skuad negara menjalani latihan dan membuat persediaan berdepan Liga Dunia Kedua, dapatkan keputusan yang baik sebelum bertanding di Liga Dunia Ketiga.

"Kerana di situ bukan mudah. Mereka perlu layak untuk beraksi dalam Piala Dunia. Jika mereka bermain baik dan mempunyai perancangan yang baik, mereka mampu untuk layak ke Piala Dunia.

"Jika mereka layak selepas Liga Dunia 3, kita boleh mengadakan saingan liga mungkin dalam masa dua bulan lebih, yang lebih menjanjikan kebaikan buat pasukan," jelasnya.

Sarjit turut berkata, pasukan yang menyertai LHM yang sudah membelanjakan duit yang banyak pastinya lebih kecewa apabila hanya beraksi untuk tempoh dua minggu.

"Tiba-tiba kita perlu memberitahu mereka liga hanya berjalan untuk tempoh enam minggu. Semuanya terkejar-kejar. Kita perlu lihatnya daripada banyak sudut. Bagi saya, saingan liga perlu ditunda."

LHM akan diadakan selama enam minggu sekitar Januari hingga Februari sebelum pusingan kedua Liga Dunia bermula pada bermula 5 Mac tahun depan.