Dua gol ketika menumbangkan Sri Lanka pada suku akhir pusingan kedua Liga Dunia cukup melegakan Mohd Ramadan Rosli kerana dia penyerang terakhir hoki negara yang masih belum meledak jaringan sejak kejohanan bermula minggu lalu.

Tatkala rakan penyerang lain sudah pun melakar nama selaku penjaring, Ramadan terpaksa menanti sehingga suku akhir untuk memecah kebuntuan.

"Ketika melihat rakan sepasukan lain mencatat jaringan, saya mengakui berasa tergugat, namun mereka juga memberi sokongan kepada saya sehinggalah saya berjaya menyumbat gol," ujarnya.

Sementara itu, Ramadan mengakui lawan negara dalam separuh akhir, Mesir, bakal menghadirkan saingan sengit, apatah lagi mereka menumbangkan Bangladesh dalam suku akhir.

"Bagi saya, mereka pencabar yang kuat. Aksi mereka di Dhaka juga cukup baik, apatah lagi menewaskan China menerusi 'penalty shootout'," tambahnya.