Pengendali skuad hoki negara, Roelant Oltmans, tidak cemas dengan kehilangan khidmat penjaga gol, S. Kumar, ekoran kecederaan otot paha, sebaliknya menaruh kepercayaan kepada Hafizuddin Othman dan Hairi Abd Rahman bagi mengisi kekosongan itu untuk menyerlah dalam kempen Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah, bulan depan.

Otot paha penjaga gol berpengalaman itu terkoyak sehingga 7.5 sentimeter yang memerlukannya berehat sehingga dua bulan.

Ini bermakna Oltmans perlu segera merangka perancangan baru untuk membentuk pasukan terbaik tanpa kudrat Kumar.

Hafizuddin dan Hairi sekali lagi akan menjadi watak penting sebagaimana edisi lalu apabila mereka turut diberi kepercayaan untuk membuktikan kemampuan di bawah bimbingan Stephen Van Huizen tatkala Kumar berdepan kes positif doping.

"Terdapati ramai penjaga gol yang hebat di negara ini dan Hafizuddin sudah beberapa kali membuktikan kemampuannya.

"Saya yakin sepenuhnya bahawa mereka mampu memikul tugas yang diamanahkan," ujar jurulatih kelahiran Belanda itu.

Oltmans, bagaimanapun, tetap berharap penjaga gol utama negara itu fokus kepada proses pemulihan andai enggan terlepas beraksi dalam Kejohanan Hoki Siri Dunia di Kuala Lumpur, April depan.

"Saya sedar kami akan mengharungi kempen penting dalam Hoki Siri Dunia yang juga kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, April depan.

"Oleh kerana beraksi di tempat sendiri, sudah tentu saya tidak akan mengambil sebarang risiko," katanya.