Terengganu Ladies Hockey Team (TLHT) dan Liaoning Infinite Space HC (LISHC) diumumkan selaku juara bersama Piala Vivian May Soars selepas perlawanan akhir tidak dapat dijalankan ekoran hujan lebat di Stadium Hoki Tun Razak petang tadi.

Hujan lebat menyebabkan perlawanan akhir itu tidak dapat dijalankan sehingga pihak penganjur mengumumkan bahawa kedua-dua pasukan bergelar juara bersama.

Bagi pengendali TLHT, Iman Gobinathan Abdullah, dia tidak menafikan rasa terkilan perlawanan akhir itu tidak dapat dijalankan tetapi tetap gembira dengan pencapaian pasukannya yang meraih kejuaraan kedua tahun ini selepas muncul juara saingan Liga Hoki Wanita Malaysia 2019 sebelum ini.

"Saya rasa hari ini sepatutnya menjadi perlawanan hebat. Malangnya, cuaca tidak begitu baik dan kalau aksi dijalankan, semua pihak akan gembira," kata Iman.

"Pencapaian ini adalah yang terbaik untuk saya. Pujian harus diberikan kepada pemain kerana mereka sentiasa memberikan komitmen terbaik dalam semua perlawanan."