Pengendali PDRM Blue Warriors, Zulkhairi Ariffin, tidak rela gelaran juara Piala Vivian May Soars 2019 terlepas ke tangan skuad jemputan dari China, Liaoning Infinite Space Hockey Club (LISHC), sebaliknya meletakkan harapan kepada pasukan hoki wanita Terengganu, TLHT, memandangkan pasukannya gagal mara ke final.

Hasrat PDRM untuk ke final buat kali keempat berturut-turut disekat LISHC apabila ditewaskan 2-3 dalam penentuan penalti dalam aksi separuh akhir semalam.

Zulkhairi menganggap kelemahan pemain, khususnya di bahagian pukulan sudut penalti, meranapkan impian barisan kendaliannya apabila beberapa kali mendapat peluang terbaik untuk menghasilkan jaringan.

Walaupun gagal mempertahankan gelaran juara, dia mahu TLHT menjulang kejayaan edisi kali ini tanpa membiarkan pasukan dari luar merampas kejuaraan itu buat julung kalinya.

"TLHT perlu menang dan jangan biarkan kelab dari luar memenangi Piala Vivian May Soars," katanya.

LISHC, bagaimanapun, positif mampu jadi pencabar kepada TLHT dalam aksi final esok selepas mereka membuktikan keampuhan berdepan juara bertahan itu dalam separuh akhir.

"Semestinya kami teruja apabila layak ke final dan akan menentang pasukan hebat seperti TLHT.

"Aspek pertahanan menjadi keutamaan kami untuk memberikan cabaran esok," ketua jurulatih LISHC, Gao Lihua.