Jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, memanggil tiga pemain Sukan Malaysia (Sukma) 2018 sebagai pengganti kepada kehilangan tujuh pemain utama dalam misi mengelak tangga tercorot dalam kejohanan Piala Sultan Johor, bermula 6 Oktober ini.

Tiga pemain Sukma, masing-masing penyerang, Muhajir Abd Rauf (Sabah) sementara pertahanan, Mohd Norshahrezan Mat Jusoh (Selangor) dan Adam Aiman Mamat (Melaka) dipanggil menyertai skuad remaja negara.

Mereka akan mengikuti tiga aksi persahabatan menentang pasukan bertaraf wilayah di China bermula esok.

Tindakan itu dilihat agak tergesa-gesa, namun Nor Saiful tiada pilihan kerana kehilangan ramai pemain utama yang menyertai Sukan Olimpik Remaja di Argentina.

"Kami dapat mengadakan lawatan singkat ke China dan akan beraksi dalam tiga perlawanan bersama pasukan di sana.

"Kami cuba menyesuaikan pemain-pemain memandangkan skuad ini tidak menjalani latihan sepenuh masa seperti pasukan senior.

"Jadi, ini adalah latihan fasa akhir sebelum kami menghadapi Piala Sultan Johor," katanya.

Jadual aksi persahabatan di China cukup ketat apabila pemain negara akan beraksi selama tiga hari berturut-turut bermula Khamis ini.

Ia sebagai persiapan mengelak tangga tercorot Piala Sultan Johor selepas meraih tangga keempat tahun lalu.