Piala Sultan Johor: Tiada istilah kesuntukan masa 

By Staff Writer 10 September 2019 498
Piala Sultan Johor: Tiada istilah kesuntukan masa 
Jurulatih skuad hoki remaja kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, enggan menjadikan faktor kesuntukan masa sebagai alasan dalam membentuk pasukannya bagi mencapai sasaran menaiki podium dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor dari 12 hingga 19 Oktober depan.

Beliau hanya mempunyai tempoh sebulan untuk membentuk pasukan remaja kebangsaan dan ia dilihat sebagai satu cabaran untuk meraih keputusan cemerlang dalam edisi ke-9 itu.

Bagaimanapun, bekas pemain kebangsaan itu tetap optimis bahawa skuad remaja mampu memikul tanggungjawab memburu podium dalam kempen di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru itu. 

"Saya tidak mahu bersikap negatif seperti memberi alasan kesuntukan masa untuk mengadakan latihan bersama. 

"Bagi saya, mereka masih menjalani latihan bersama dalam pasukan kebangsaan, negeri dan sekolah," katanya. 

Tambah Nor Saiful, taktikal yang bakal diterapkan skuad remaja negara kelak dijangka mampu memberi impak untuk menghadirkan resah lawan. 

"Kami tidak boleh melepaskan gol dan membenarkan lawan menguasai perlawanan dengan mudah.

"Kami perlu lihat prestasi pemain sebaik mereka melaporkan diri terlebih dahulu. 

"Kalau prestasi mereka dalam keadaan baik, saya mungkin akan menerapkan taktikal berbeza," tambahnya. 

Skuad hoki remaja negara bakal diperkasakan dengan dua pemain skuad kebangsaan selain dua pemain hoki dalam dewan.

 

About Author

Staff Writer

Comment