Piala Sultan Johor: Nor Saiful optimis raih podium

By Staff Writer 8 September 2019 177
Piala Sultan Johor: Nor Saiful optimis raih podium
Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin, berjaya mendapatkan empat pemain skuad kebangsaan, termasuk skuad hoki dalam dewan, untuk kem latihan pusat bermula esok, sebulan sebelum saingan Piala Sultan Johor.

Meskipun berdepan tempoh singkat untuk mempersiapkan pasukan, bekas pemain kebangsaan itu optimis mampu menamatkan saingan kali ini di podium berbekalkan gandingan pemain hoki dalam dewan dan padang.

"Kami sudah kumpulkan pemain untuk sesi bermula esok hingga Jumaat ini. Kebanyakan mereka sudah kami tapis, terutama yang pernah mewakili kelab dan negara. Saya rasa insya-Allah kami dapat siapkan pasukan mantap dalam tempoh terdekat ke Piala Sultan Johor," katanya.

"Kami memiliki dua pemain daripada skuad hoki dalam dewan dan empat wakil padang tetapi dua pemain, Firdaus Rosdi dan Azrai Azad, tidak dilepaskan kerana mengikuti skuad kebangsaan ke Korea Selatan.

"Kami dibenarkan untuk menggunakan khidmat Arif Syafie Ishak dan Muhd Akhimullah Anuar Esook bagi memperkuatkan pasukan.

"Saya rasa mereka sudah meraih pengalaman daripada skuad senior dan kalau boleh, kami mahu memperbaiki ranking edisi lalu dan mendapatkan tempat ketiga. Itu sasaran minimum," tambahnya.


 

About Author

Staff Writer

Comment