Penolong jurulatih skuad pembangunan negara, Mohd Amin Abd Rahim, berkata pakar pukulan sudut penalti negara berdepan masalah kerana kombinasi tidak mantap di antara fliker dan penolak bola.

Malah, padang tidak rata di Stadium Hoki Major Dhyan Chand yang menjadi venue Piala Dunia Remaja 2016 turut menyukarkan lagi usaha mereka.

"Apa yang saya dapat lihat, kegagalan fliker dalam melakukan pukulan dengan tepat dan penahan gagal menampan dengan baik mungkin salah satu faktor yang menyebabkan pukulan sudut penalti kami tidak berhasil.

"Tapi sekurang-kurangnya dalam 12 pukulan sudut penalti, kami menjaringkan satu gol daripada Mohd Amirul Aideed Arshad walaupun bukan dari pukulan terus.

"Sebenar, kami memiliki tiga pakar pukulan sudut penalti, iaitu Najmi Farizal Jazlan, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan dan Mohd Firdaus Omar.

"Malangnya kami kehilangan pemukul kedua, Syed Shafiq, yang tidak dapat beraksi akibat kecederaan," kata penolong jurulatih itu.

Di sebalik masalah ketajaman itu, Amin menegaskan skuad bimbingan Wallace Tan itu tidak perlu panik dalam membuat perubahan drastik.

"Apa yang kami nampak, Najmi gagal dalam melakukan pukulan terus manakala Firdaus masih kekurangan pengalaman untuk mengambil pukulan terus.

"Tapi kami ada perancangan untuk Firdaus membuat flik ketika menentang New Zealand nanti.

"Kami akan menggunakan sesi latihan nanti untuk memperbaiki di mana kesilapan pemain ketika membuat pukulan sudut penalti.

"Tiada perancangan untuk kami menukar perancangan semasa situasi bola mati. Kalau tukar pada saat-saat akhir nanti, saya bimbang akan timbul kekeliruan di kalangan pemain.

"Cuma kami akan cuba lebihkan lagi berlatih pukulan sudut penalti untuk menentang New Zealand."