Penyerang hoki negara, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, antara wira Malaysia ketika menjuarai pusingan kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh, dua minggu lalu.

Namun ia bukan jaminan untuk menyarung jersi kebangsaan ke Piala Sultan Azlan Shah, bulan depan, ekoran kepulangan beberapa tonggak utama.

Persaingan ke Ipoh, Perak makin sengit apabila lima pemain utama kembali ke pangkuan The Malaysian Hockey Tigers.

Antaranya penjaga gol, S. Kumar, pertahanan, Baljit Singh Charun Singh, dan penyerang, Faizal Saari.

Ia meningkatkan cabaran untuk merebut 18 tempat dalam skuad kebangsaan dengan Malaysia akan menghadapi lima pencabar handalan dunia.

"Ini adalah satu persaingan yang sihat, masing-masing cuba untuk membuktikan prestasi terbaik. Siapa yang terbaik dapat mewakili negara untuk ke Piala Sultan Azlan Shah," kata Tajuddin.

Dia menjaringkan lima gol ketika membantu Malaysia menjuarai pusingan kedua Liga Dunia.

Bagaimanapun, Tajuddin turut perlu bersaing dengan Firhan Ashaari, Mohd Haziq Shamsul, Shahril Saabah, Nik Mohd Aiman Nik Rozemi, Mohd Ramadan Rosli dan Rashid Baharom.

Sementara itu, pengendali negara berharap dapat menguji pasukan pilihan utama kejohanan seperti Australia dan Great Britain sebelum memulakan kempen di Ipoh.

"Tahap kecergasan sudah naik. Kami banyak mempelajari teknik dan taktikal kerana mahu cuba memperbaikinya untuk Liga Hoki pusingan ketiga. Piala Sultan Azlan adalah sebahagian daripada persiapan untuk kejohana Piala Dunia.

"Mugkin kami akan mendapatkan satu atau dua perlawanan sebelum Piala Sultan Azlan Shah," katanya.

Australia selaku pasukan ranking pertama dunia akan turun mempertahankan kejuaraan mereka tahun lalu sambil Malaysia diletakkan sebagai pilihan kelima kejohanan dengan menghuni ranking ke-13 dunia ketika ini.

Piala Sultan Azlan Shah edisi ke-26
27 April - 6 Mei 2017
Tempat: Stadium Sultan Azlan Shah, Ipoh

Negara bertanding (ranking dunia):
• Australia (1)
• India (6)
• Great Britain (7)
• New Zealand (8)
• Malaysia (13)
• Jepun (16)