Skuad hoki negara menamatkan Kejohanan Ujian Sukan Olimpik Tokyo di venue sebenar dengan kedudukan tercorot selepas tewas 1-6 kepada Jepun dalam penentuan tempat ketiga hari ini.

Kapten pasukan, Sukri Mutalib, mengakui punca kekalahan itu disebabkan majoriti pemain negara sudah terlalu letih.

Kekalahan kepada tuan rumah, Jepun, bermakna Malaysia tewas kesemua empat perlawanan di Stadium Hoki Oi, Tokyo.

Ia sudah dijangkakan selepas skuad kendalian Roelant Oltmans itu ditimpa kekalahan besar di peringkat round robin.

Sukri mengakui dia dan rakan-rakannya terlalu letih selepas mengharungi 13 perlawanan dalam tempoh sebulan

"Kami bergelut dalam kejohanan di sini.

"Kami bermain baik dalam dua suku pertama tetapi selepas itu, kami kehilangan tenaga.

"Kami memang sudah penat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) tidak panik terhadap prestasi di Tokyo itu.

Ia kerana enam pemain utama sedang direhatkan, antaranya Faizal Saari, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, Fitri Saari dan Razie Abdul Rahim.

"Mereka perlu belajar daripada kesusahan," kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

"Saya hanya memaklumkan kepada jurulatih Roelant bahawa selepas ini, tiada lagi percubaan dan dia perlu pastikan memiliki skuad yang sempurna sebelum ke Korea (kelayakan Sukan Olimpik).

"Secara keseluruhan, memang saya tidak begitu bepuas hati tetapi Insya-Alllah, mereka akan memperbaiki kedudukan.

"Saya yakin Malaysia akan ke Sukan Olimpik," kata Subahan lagi.