Tiga pemain hoki negara diketuai penyerang, Firhan Ashaari, berperang dengan masa untuk pulih daripada kecederaan bagi merebut 18 tempat ke Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, Perak, dari 29 April hingga 6 Mei ini.

Malang berganda buat Firhan apabila dia ditimpa kecederaan betis selepas pulih daripada masalah hamstring.

Penyerang Terengganu Hockey Team itu hanya melakukan latihan ringan ketika rakan sepasukan menjalani latihan kecergasan.

Pemain tengah, Joel Samuel Van Huizen, pula masih belum pulih daripada masalah kesihatan sementara penyerang, Faizal Saari, sudah mula mengikuti latihan penuh ekoran kecederaan hamstring.

"Untuk terpilih ke Piala Sultan Azlan Shah ini masih ada masa lagi," kata Firhan. "Cuma mungkin dalam penilaian jurulatih, saya perlu buat latihan secepat mungkin bersama pasukan. Ia untuk memulihkan kembali (kecergasaan) dan serasi dengan pemain lain."

Pun begitu, jurulatih skuad negara, Stephen Van Huizen, memiliki banyak pilihan jika tiga pemain itu tidak sempat pulih sepenuhnya.

Antara yang menjadi pilihan, pemain muda yang membantu Malaysia Muncul juara pusingan kedua Liga Dunia selain pemain skuad pembangunan negara.

"Saya tengah tunggu penerangan daripada bahagian perubatan tetapi nampak seperti dua atau tiga hari lagi, saya boleh berlatih," kata Samuel.