Ketua jurulatih skuad hoki lelaki negara, Roelant Oltmans, menagih aksi sebenar pasukan dalam tiga perlawanan persahabatan berdepan New Zealand bermula Jumaat ini sebagai ujian terakhir bagi 18 pemain yang telah dimuktamadkan ke Piala Dunia 2018 di India.

Skuad hoki negara berdepan tiga aksi persahabatan berdepan New Zealand di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sehingga 22 November ini.

Ini adalah peluang terbaik untuk 18 pemain yang telah dipilih ke India bagi mempersembahkan aksi sebenar tanpa mengambil mudah walaupun ia hanyalah perlawanan persahabatan.

Oltmans sendiri mempercayai kemampuan anak buahnya tanpa perlu khuatir risiko kecederaan yang mungkin dihadapi pada saat-saat akhir, termasuk penjaga gol utama negara, S. Kumar, yang sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan tangan.

"Kami mahu memperbaiki segala aspek dalam perlawanan itu.

"Saya sentiasa membahagikan setiap perlawanan dengan penguasaan atau bukan penguasaan.

"Saya akan melihat kepada semua aspek penting di setiap posisi," katanya.

Kumar sendiri menganggap perlawanan persahabatan itu cukup penting untuk menguji tahap kecergasannya sebaik mungkin.

"Saya perlukan aksi itu kerana kali terakhir saya beraksi adalah ketika Sukan Asia lalu.

"Saya perlukan perlawanan itu untuk kembali mendapatkan sentuhan," katanya.


Jadual perlawanan persahabatan bertemu New Zealand di Padang 1, Stadium Hoki Nasional.

Perlawanan 1: Khamis, 16 November 2018, jam 5.00 petang.
Perlawanan 2: Selasa, 20 November 2018, jam 6.00 petang.
Perlawanan 3: Khamis, 22 November 2018, jam 6.00 Petang.