Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, dijangka terus kekal untuk tempoh beberapa bulan lagi apabila memanggil kem latihan pusat pada 25 November ini di sebalik desakan meletakkan jawatan selepas gagal membantu Malaysia ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Dia akan menyambung semula tugas minggu depan tatkala Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) masih belum membuat keputusan mengenai masa depan pengendali kelahiran Belanda itu.

KHM akan menentukan status Oltmans sekurang-kurangnya selepas jawatankuasa kejurulatihan bersidang awal bulan depan.

"Saya masih belum berbincang dengan KHM mengenai masa depan saya, jadi saya tidak fikir ia perlu diperkatakan buat masa sekarang. Saya mengikut perancangan awal dan akan meneruskan perbincangan menerusi notis," ujar ketua jurulatih itu.

Malaysia tewas 9-3 secara agregat di tangan Great Britain dalam aksi play-off kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020, dua minggu lalu.

Berdasarkan kontrak Oltmans, dia perlu membawa Malaysia ke Tokyo untuk menamatkan penantian sejak Sydney 2000.

Sementara itu, Oltmans mengesahkan lima pemain negara sedang beraksi dalam Liga Oman.

"Ia bertujuan untuk membolehkan pemain menerima lebih banyak aksi kompetitif. Jadi, saya menggalakkan pemain untuk ke luar negara."