Pemain tengah skuad hoki negara, Nurul Safiqah Mat Isa, tidak mahu terlepas peluang untuk kembali memikat hati pengendali skuad negara, Muhammad Dhaarma Raj Abdullah, selepas digugurkan ketika pusingan kelayakan Piala Dunia 2017 dan Sukan Asia Indonesia tahun lalu.

Prestasi hambar yang dipamerkan menjadi punca mengapa Nurul Safiqah digugurkan daripada dua kejohanan penting itu.

Bagaimanapun, dia yang dipanggil semula ke kem latihan skuad kebangsaan sejak awal tahun ini, enggan mensia-siakan peluang yang diberikan itu untuk membuktikan kebolehannya dalam aksi pemanas badan di Itali dan Scotland minggu depan, sekali gus menempah tempat ke Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di Ireland Utara, 8-16 Jun ini.

"Saya perlu manfaatkan peluang yang saya dapat ini dengan sebaik mungkin.

"Saya perlu membuktikan kemampuan saya sepanjang perlawanan ujian di Itali dan Scotland.

"Ini masanya untuk saya membuktikan kepada jurulatih yang saya layak untuk berada dalam pasukan," katanya.

Sementara itu, kapten pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani, tidak rela berputih mata dan menanti empat tahun lagi untuk merealisasikan impiannya ke Sukan Olimpik.

Atlet berusia 32 tahun itu menyedari masa kian suntuk buat dirinya yang mengidamkan status sebagai olimpian negara menjelang kelayakan Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Sebagai pemain lama, sudah banyak kali saya dan pasukan mencuba untuk layak ke Sukan Olimpik.

"Ia memang begitu sukar sekali.

"Namun, kali ini saya yakin bahawa pasukan ini mampu melakukan sesuatu untuk ke pusingan yang seterusnya," katanya.