Penyerang Pasukan Hoki Wanita Terengganu (TLHT), Nur Aisyah Hashim, mengharapkan aksinya terus ditagih dalam pasukan untuk musim depan selepas skuad itu muncul juara Piala Vivian May Soars, Ahad lalu.

Anak Jati Terengganu itu, yang beraksi bersama TLHT buat julung kalinya, berpuas hati dapat membantu pasukannya meraih dua gelaran juara dalam Liga Hoki Wanita Malaysia dan Piala Vivian May Soars yang sememangnya telah menjadi sasaran Persatuan Hoki Terengganu (PHT).

Untuk itu, Aisyah mahu khidmatnya terus ditagih dalam skuad itu bagi musim depan kerana masih belum puas menikmati kejayaan yang diraih mereka tahun ini.

Dia yang pernah bersama pasukan Politeknik Malaysia mengharapkan momentum kecemerlangan TLHT mampu dikekalkan sebaik-baiknya pada musim baru nanti.

"Sebenarnya, perlawanan paling sengit yang pernah kami hadapi sebelum ini adalah ketika menentang PKS-UNITEN-KPT dalam pusingan kedua.

"Tetapi aksi final juga sangat-sangat sengit sebab kami mahu mengelak daripada diheret ke penentuan pukulan penalti," katanya.

Bagi skuad PDRM selaku juara Piala Presiden pula, cabaran lebih besar bakal menanti mereka apabila layak untuk beraksi di samping kelompok elit Liga Hoki Perdana Malaysia, tahun depan.

"Kempen Liga Hoki Perdana Malaysia pasti lebih sukar kerana ia adalah pertandingan peringkat tertinggi.

"Kalau PDRM mahu mencapai tahap yang lebih baik, kami perlu memulakan latihan lebih awal untuk mendapatkan keserasian pemain dalam aksi Liga Perdana nanti," ujar kapten PDRM, Baljit Singh.