Nor Saiful Zaini Nasiruddin sedia meneruskan tugas jurulatih skuad hoki remaja negara menjelang Mesyuarat Jawatankuasa Kejurulatihan Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) esok yang akan turut memutuskan identiti pengendali skuad wanita remaja.

Nor Saiful mengakui sudah dirisik KHM untuk tugas pengendali skuad lelaki remaja negara.

Beliau mengendalikan skuad remaja sejak 2016 dengan pencapaian terakhir membantu Malaysia meraih tangga ketiga Piala Sultan Johor 2019.

Malah, bekas penyerang kebangsaan itu sedang membimbing Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang turut dibarisi lapan pemain remaja negara.

"Saya sudah lama bersama skuad negara. Jika KHM meminta untuk terus membimbing pasukan, saya sedia memikul tanggungjawab ini," katanya.

Skuad wanita remaja negara akan menghadapi Piala Remaja Asia di Kakamigahara, Jepun, April depan sementara skuad lelaki remaja di Dhaka, Bangladesh, Jun depan.

Kedua-dua kejohanan menawarkan tempat ke Piala Dunia Remaja tahun depan.

Sementara itu, penyerang TNB, Mohd Akhimullah Anuar Esook, yang sudah meledak lima gol, menggalas tugas penting berdepan Terengganu Hockey Team (THT) dalam saingan Liga Hoki Malaysia (LHM), Rabu ini.

"THT memiliki barisan yang berpengalaman. Saya akan berusaha bersama rakan sepasukan untuk mencari jaringan ketika bertemu mereka," kata Akhimullah.



Editor: Ammar Hakim