Kejayaan skuad hoki negara meraih tangga ketiga dalam Kejohanan Terbuka Antarabangsa Darwin selepas menewaskan Jepun 4-0 cukup melegakan di samping menjadi bukti pemain sudah bangkit daripada tragedi Sukan Asia.

Kemenangan ke atas Jepun itu tiba tepat pada masanya ketika Malaysia akan menyertai saingan Trofi Juara-Juara Asia, bulan depan, diikuti Piala Dunia pada November.

Ia bukti pemain kembali fokus selepas tewas kepada skuad Samurai itu dalam final Sukan Asia Indonesia, sekali gus terlepas tiket Sukan Olimpik Tokyo 2020.

"Ia prestasi yang melegakan saya serta peminat-peminat negara, di mana pemain-pemain mula menunjukkan kebangkitan dan saya pasti mereka akan melupakan tragedi di Jakarta," kata legenda hoki negara, Datuk Mirnawan Nawawi.

"Berbekalkan kehadiran pemain-pemain remaja seperti Muhammad Haziq Samsul, Najib Abu Hassan dan beberapa pemain lain, mereka telah mempamerkan prestasi yang diinginkan. Ia menjadi petanda positif untuk skuad hoki kebangsaan secara keseluruhan," katanya lagi.