Jurulatih hoki Mesir, Ali El-Shorbagy, mendedahkan perancangan untuk merantai perancang utama Malaysia, Fitri Saari, bagi menghidupkan peluang mencipta kejutan dalam perlawanan separuh akhir pusingan kedua Liga Dunia, esok.

Mesir berjaya mengesan gerakan perancang utama Malaysia itu selepas banyak melancarkan gerakan membantu penyerang negara sehingga berjaya meledak 25 gol dalam laluan ke separuh akhir.

Pemain tengah Terengganu Hockey Team (THT) itu turut menyumbang tiga gol dan dijangka memberi masalah besar kepada Mesir.

"Kami akan memberi perhatian kepada Fitri (Saari).

"Seperti pertemuan dengan Bangladesh, kami akan membuat pendekatan berbeza dalam setiap perlawanan," kata El-Shorbagy.

Kapten Mesir, Amr Elhady, turut menekankan kelibat Fitri dan berharap dapat merantai pemain berkenaan.

"Dia seorang pemain yang sangat bagus. Kami telah menonton beberapa rakaman perlawanan membabitkan Malaysia.

"Kami berharap dapat menghalang pukulan Malaysia," katanya.

Mesir layak ke separuh akhir selepas menumbangkan tuan rumah, Bangladesh, 5-1 dalam aksi suku akhir.

Penyerang Mesir, Amr Sayed, meledak dua gol sementara Mahmoud Mamdouh, Ahmed Gamal dan Mohamed Hassan turut mencatat nama sebagai penjaring.

Amr Sayed dan Mahmoud muncul penjaring terbanyak Mesir dengan masing-masing sudah mengumpul tiga gol, secara tidak langsung menjadi ancaman utama buat The Malaysian Hockey Speedy Tigers.