Pukulan penalti Hafifi Hafiz Hanafi menjadi penyelamat buat Maybank untuk mara ke separuh akhir saingan hoki Piala Tan Sri P. Alagendra dengan mengatasi UniKL 2-1 di Stadium Tun Razak.

Maybank berjaya mengatasi anak buah Arul Selvaraj untuk menempah slot separuh akhir, sekaligus melunas dendam tahun lalu apabila tewas 1-0 kepada UniKL di peringkat yang sama.

Selepas melewati 30 minit hambar, UniKL terlebih dahulu menghadirkan jaringan yang dicetus oleh Muhammad Marhan Mohd Jalil pada minit ke-32.

Maybank bangkit menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Iderus Ali 11 minit kemudian.

Ternyata peluang pukulan penalti pada minit ke-51 buat Maybank tidak disia-siakan Hafifi Hafiz Hanafi, sekaligus menghadirkan peluang Maybank mara ke separuh akhir.

“Kami agak bergelut pada awal permainan tetapi kami tidak tidak mensia-siakan peluang untuk menjaringkan gol,” kata jurulatih Maybank, Haiful Azli Abdul Rahman.

“UniKL gagal menyempurnakan jaringan yang menjadi punca kekalahan dalam perlawanan ini,” kata pengendali UniKL, Arul Selvaraj.

Sementara itu, dalam satu lagi perlawanan merebut slot separuh akhir, pasukan pilihan, KLHC, tidak berhadapan cabaran sukar menundukkan pihak lawan, SSTMI, 7-0.

KLHC membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi Harvinder Singh.

Pukulan sudut penalti pada minit ke-31 cemerlang disempurnakan oleh Muhammad Noor Faeez Ibrahim, sekaligus menjarakkan kedudukan dengan pihak lawan.

KLHC terus menambah jaringan, kali ini disempurnakan Ahmad Kazamirul Nasruddin tiga minit kemudian.

Muhammad Rashid Baharom menyumbangkan dua jaringan pada minit ke-40 dan ke-41 untuk meletakkan KLHC dalam kedudukan selesa.

Mohd Syamim Mohd Yusof meledak gol keenam perlawanan pada minit ke-49, sebelum Ahmad Kazamirul menyempurnakan kemenangan KLHC dengan jaringan enam minit kemudian.