Pasukan hoki wanita negara gah menempatkan diri ke separuh akhir Liga Hoki Dunia Pusingan Kedua selepas mengatasi Thailand di Stadium Hoki Tun Razak, malam ini.

Kemenangan bergaya 3-0 pasukan negara itu menyaksikan mereka bakal membuat perhitungan dengan pasukan ranking ke-15 dunia, Itali, di pentas separuh akhir Sabtu ini.

Pada suku pertama permainan, pasukan Malaysian Tigress cuba mendapatkan gol awal melalui beberapa gerakan ke arah pintu gol Thailand tetapi mereka gagal menemui jaringan.

Dalam suku kedua perlawanan, corak bertahan pasukan Thailand sekali lagi terus menyukarkan jentera serangan Malaysia. Walaupun pasukan negara berjaya mencipta beberapa peluang, namun ia gagal disudahkan untuk menamatkan babak pertama dengan seri tanpa jaringan.

Dalam separuh masa kedua, Malaysia bermula dengan baik apabila memperoleh pukulan sudut penalti pada minit ke-34, namun ia juga gagal disudahkan.

Seolah-olah mula mendapat rentak selepas itu, Malaysia terus menggandakan asakan dan hasilnya mereka memperoleh pukulan sudut penalti sekali lagi. Kali ini, peluang itu tidak disia-siakan pemain negara apabila kapten pasukan, Siti Noor Amarina Ruhani, menolak kencang untuk Malaysia mendahului 1-0 pada minit ke-38. Keputusan itu kekal sehingga suku ketiga perlawanan tamat.

Malaysia terus menyerang untuk memburu gol dalam suku terakhir dan Norazlin Sumantri menolak masuk gol padang pada minit ke-56 bagi membolehkan pasukan negara selesa 2-0 di hadapan.

Seminit sebelum permainan tamat, Malaysia dihadiahkan pukulan sudut penalti yang keenam dan peluang itu disudahkan dengan tolakan kencang Nuraini Abdul Rashid, sekaligus melengkapkan kemenangan bergaya ke atas Thailand.

Tiga lagi pasukan yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir adalah Ireland, Itali dan Wales.

Dalam perlawanan sebelah tengah hari tadi, Ireland mudah membenam Singapura 10-0. Gol-gol Ireland dijaringkan oleh Naomi Carrol (7’ FG), Rebecca Barry (14’ PC), Anna Oflanagan (22’ FG, 43’ PC, 56’ FG), Roisin Upton (23’ PC, 25’ PC, 45’ PC), Nicola Daly (46’ FG), dan Katharyn Mullan (57’ FG).

Pasukan Itali pula mencatatkan kemenangan 7-0 mengatasi Hong Kong. Gol Itali dalam perlawanan itu diperoleh menerusi Valentina Broconi yang meledak hatrik menerusi penalti stroke pada minit kedua, gol padang pada minit ke-11 dan satu lagi gol menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-57.

Empat lagi gol Itali masing-masing disumbangkan gol padang Francesca Bendinelli (m-24), pukulan sudut penalti Chiara Tiddi (m-25), gol padang melalui Dalila Mirabella (m-37) serta pukulan sudut penalti Eugenia Mastronardi (m-50).

Satu lagi perlawanan suku akhir menyaksikan Wales turut mara selepas menang tipis 2-1 menewaskan Kazakhstan.

Dalam perlawanan yang berlangsung seimbang itu, Wales terlebih dahulu di depan apabila Joanne Westwood menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-19.

Apapun, Kazakhstan bangkit menyamakan kedudukan pada minit ke-41, juga melalui pukulan sudut penalti, sebelum Leah Wilkinson menyumbat masuk pukulan sudut penalti lima minit sebelum perlawanan berakhir.

Kredit imej: Konfederasi Hoki Malaysia