Ketua jurulatih hoki negara, Stephen Van Huizen, lega anak buahnya berjaya mengawal emosi di atas padang ketika menumbangkan Sri Lanka 5-2 untuk layak ke separuh akhir pusingan kedua Liga Dunia di Dhaka, Bangladesh.

Pemain Sri Lanka didakwa sengaja melakukan provokasi fizikal dalam aksi di Stadium Nasional Hoki Maulana Bhasani itu, siang tadi.

Beberapa insiden menyaksikan pemain negara hampir hilang kawalan, namun mujur dapat dikawal pengadil perlawanan.

Kemuncaknya, Joel Samuel Van Huizen, terbaring di atas padang dalam suku ketiga ekoran tindakan kasar pemain lawan, Samitha De Costha, sehingga dilayangkan kad merah.

"Aiman Nik Rosemi dikasari di bahagian kaki dan kemudiannya di tangan yang menghalangnya untuk beraksi dalam sesetengah suku permainan.

"Kami terkesan berikutan pengadil tidak memberi perlindungan kepada pemain-pemain.

"Tapi itu bukan alasan untuk kami kerana menganggap pengadil hanya menjalankan tugas mereka.

"Apa yang penting, kami dapat mara ke separuh akhir dan aksi seterusnya akan menentukan sama ada kami mampu layak ke Piala Dunia secara automatik," katanya.

Pemain tengah negara, Fitri Saari, turut mengakui terkesan dengan tindakan kasar barisan pemain Sri Lanka.

"Saya gagal mengawal emosi sekejap. Tapi semuanya dalam keadaan baik berikutan sudah mendahului dengan banyak (5-0).

"Untuk itu, saya berpesan kepada rakan-rakan lain, kami perlu mencari gol dahulu sebelum dapat bermain dengan selamat," katanya.

Kapten hoki negara, Sukri Mutalib, pula wajar dipuji kerana membantu mengawal emosi rakan sepasukannya daripada terpengaruh dengan provokasi lawan.

Guru sekolah menengah itu sedar beberapa pemain negara mula terkesan apabila Sri Lanka melakukan provokasi fizikal dengan menawarkan pandangannya, "Kami berjaya menyesuaikan diri dengan situasi itu dan dapat bermain hoki dengan baik untuk meraih kemenangan.

"Di atas padang, tak banyak yang boleh saya lakukan kerana situasi berlaku dengan pantas.

"Tetapi di luar padang, saya memberitahu kepada rakan-rakan supaya bertenang dan jangan terbawa-bawa dengan apa yang dilakukan pemain lawan," katanya.