Kapten hoki Fiji, Hector Smith Junior, menyifatkan ia satu pengorbanan oleh pemain-pemain Fiji yang terpaksa mengeluarkan RM4,000 untuk menyertai Liga Dunia yang sedang berlangsung di Dhaka, Bangladesh.

Pasukan dari kepulauan Lautan Pasifik itu juga menyifatkan peluang bertemu Malaysia dalam kejohanan berkenaan sebagai satu penghormatan besar.

Fiji dianggap sebagai pasukan belasahan apabila bolos 12 gol daripada dua perlawanan Kumpulan A bertemu Bangladesh dan Oman.

Namun, ia bukan perkara penting buat Fiji kerana tujuan utama beraksi di Dhaka demi meraih pengalaman yang berharga.

Malah, setiap pemain sanggup mengeluarkan perbelanjaan sendiri walaupun mereka menyedari adalah mustahil untuk menempah slot ke separuh akhir Liga Dunia.

"Kami secara peribadi harus membayar wang untuk datang bertanding di sini dan berkorban dengan keluarga di Fiji yang membantu kami daripada segi kewangan, kami juga bekerja keras untuk membuat persiapan beraksi di Dhaka.

"Kami selalu mengharapkan yang terbaik apabila menjejakkan kaki di padang kerana kami bermain demi maruah keluarga dan kawan-kawan. Kami datang dari negara yang kecil dan mungkin tidak akan menjadi kuasa besar dalam sukan hoki.

"Tetapi jika dilihat bagaimana kami bersaing dalam kejohanan ini, sememangnya saya amat berbangga dengan prestasi mereka," kata Hector.

"Kami tidak sabar untuk menentang Malaysia, kami menyedari bahawa mereka pasukan yang hebat dan mereka juga beraksi dalam Piala Dunia yang lalu.

"Bagi pemain Fiji, segalanya mengenai pengalaman dengan Malaysia merupakan pasukan yang berkebolehan tinggi.

"Saya berasakan kami mampu belajar banyak perkara dari Malaysia dan kami tidak sabar untuk bertemu mereka," jelas penyerang Fiji, Leevan Duta.