Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menawarkan subsidi RM3,000 kepada setiap pasukan Liga Hoki Remaja Malaysia (LHRM) yang mengundang kebimbangan beberapa pegawai, terutama jurulatih Sabah.

Buat kali pertama, Sabah akan menghantar tiga pasukan untuk menyertai LHRM.

Ia bagi mengukuhkan aspek pembangunan sukan hoki di negeri itu yang masih jauh ketinggalan berbanding pasukan dari Semenanjung Malaysia.

Namun, masalah utama ialah mereka memerlukan dana sekitar RM120,000 untuk ketiga-tiga pasukan itu ketika KHM hanya menawarkan subsidi maksimum sebanyak RM9,000.

"Apa yang KHM isytiharkan mengenai jumlah subsidi itu memang jauh tidak mencukupi.

"Saya berharap bagi pihak ketiga-tiga pasukan di bawah Persatuan Hoki Sabah untuk KHM mempertimbangkan beberapa subsidi lain dalam bentuk kewangan, kenderaan atau tempat tinggal," kata jurulatih skuad remaja Sabah, Ibrisham Nadzri.

KHM mengadakan undian kelayakan LHRM yang membabitkan 10 pasukan, hari ini.

Lima pasukan terbaik akan layak menyertai saingan utama yang akan bermula 21 Jun ini.

Cabaran utama adalah untuk mendapatkan dana kerana perlawanan akan turut diadakan di Stadium Hoki Likas, Kota Kinabalu.

"Mungkin enam atau tujuh pasukan perlu diberikan lebih subsidi, namun ia perlu mengambil kira berapa banyak yang diperlukan untuk penerbangan ke Sabah.

"Itulah yang sudah kami persetujui.

"Saya berasakan semua pihak bersetuju untuk tidak ke Sabah tetapi Sabah merupakan negeri di Malaysia.

"KHM mahu menggalakkan pemain," kata Timbalan Presiden 2 KHM, George Koshy.