TNB 7 Maybank 2

Saingan Liga Hoki Malaysia (LHM) 2019 menghampiri kemuncaknya dengan aksi di Stadium Hoki Tengku Abdullah, Bangi, hari ini menyaksikan Tenaga Nasional Berhad (TNB) menundukkan Maybank 7-2.


TNB membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi gerakan padang yang berpunca daripada lorongan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal yang kemudian disudahkan Firhan Ashaari untuk menewaskan penjaga gol Maybank, Muhamad Zaimi Mat Deris.

Berselang tiga minit, TNB menggandakan kedudukan itu menerusi pukulan sudut penalti kedua mereka selepas Norsyafiq Sumantri bijak melakukan tindakan susulan daripada flik awal yang dilakukan Muhammad Arif Syafie Ishak.

Bagaimanapun, dua jaringan itu tidak mematahkan semangat Maybank untuk bangkit mengejar kedudukan.

Kapten Maybank, Hafifihafiz Hanafi, yang berada di belakang pertahanan TNB, Shazril Irwan Nazli, hanya perlu menghulurkan kayunya untuk menyambut bola hantaran jauh Muhamad Kamarulzaman Kamaruddin bagi mengubah kedudukan kepada 1-2 pada minit ke-15.

Bersambung suku ketiga, kesilapan pertahanan Maybank dimanfaatkan Arif Syafie untuk melorongkan bola yang kemudian ditolak masuk Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-35.

TNB terus melebarkan jurang itu pada minit ke-41 dengan Azrai Aizad bertindak bijak menghantar bola untuk disudahkan Mohamad Akhimullah Anuar Esook yang tidak dikawal.

Maybank berjaya merobek gawang TNB dalam suku keempat selepas Muhammad Haziq Samsul melakukan pukulan ke sudut rendah gawang Che Shahrul Azmi Che Saupi.

TNB melengkapkan keputusan perlawanan pada tiga minit terakhir permainan, bermula dengan gol padang Muhammad Amirul Hamizan Azahar pada minti ke-57, disusuli gol pukulan sudut penalti Muhammad Arif Syafie Ishak pada minit ke-59 dan jaringan padang Norsyafiq Sumantri pada minit ke-60.

Sementara itu, pasukan hoki Universiti Kuala Lumpur (UniKL) hampir pasti diangkat juara LHM musim ini selepas menewaskan Nur Insafi 6-1 di Stadium Hoki Universiti Sains Malaysia (USM).

UniKL memperoleh jaringan pembukaan daripada Izwan Firdaus Ahmad Tajuddin pada minit ke-13, diikuti gol pukulan sudut penalti yang disempurnakan Martijn Peter Havenga untuk pasukan itu mendahului 2-0 sepanjang separuh masa pertama.

Aksi dalam babak berikutnya menyaksikan Nur Insafi memperoleh satu gol hasil gerakan padang Nur Rahul Hrsikesa Thaitchana Muruthi.

Bagaimanapun, UniKL bangkit dengan empat gol menerusi dua pukulan sudut penalti Muhammad Razie Abd Rahim pada minit ke-41 dan 50 sebelum Faridzul Afiq Mohd menghasilkan jaringan padang berganda pada minit ke-44 dan 60.