"Layak ke Tokyo atau mungkin saya sudah boleh fikirkan mengenai persaraan", itu pilihan yang diberikan oleh penyerang veteran, Tengku Ahmad Tajuddin Tengku Abdul Jalil, terhadap dirinya dalam usaha menamatkan kemarau penampilan 19 tahun skuad hoki negara di pentas Olimpik.

Tengku Ahmad Tajuddin merupakan antara tonggak senior dalam pasukan ketika ini selain penjaga gol, S. Kumar.

Mula beraksi sejak 2006 bersama pasukan senior, dia sudah pun mula terlibat dengan tiga siri percubaan skuad negara untuk layak ke Sukan Olimpik, bermula dengan kelayakan Olimpik Beijing 2008, London 2012 dan Rio 2016, namun kesemuanya berakhir dengan kekecewaan.

Kini mencecah usia 33 tahun, Tengku Ahmad Tajuddin mahu memastikan peluang terakhir dalam kariernya untuk ke temasya sukan terbesar di dunia itu dapat direalisasikan menjelang kelayakan Tokyo 2020 menentang Great Britain, 2 dan 3 November depan.

"Jika gagal ke Tokyo, saya mungkin mengundur diri dan memberi peluang kepada pemain-pemain muda yang berbakat untuk mendapatkan slot ke Paris 2024," katanya.

Dalam masa sama, pengendali skuad negara, Roelant Oltmans, sudah menamakan 20 pemain yang akan menghadapi siri jelajah di Korea Selatan, Khamis ini, dengan hanya seorang pemain digugurkan, iaitu penjaga gol, Adrian Andy Albert.

Oltmans juga memberi bayangan 20 pemain yang ada ketika ini mungkin akan dibawa ke London memandangkan beliau boleh membawa lebihan dua pemain, dengan hanya 18 yang boleh didaftarkan untuk menghadapi Great Britain nanti.

"Selepas tamat jelajah di Korea Selatan, kami akan menyenaraikan 20 pemain yang bakal menjalani persiapan di Eropah pula," katanya.