Bekas penolong jurulatih skuad hoki wanita negara, Lailin Abu Hassan, tiada perancangan untuk berkelana ke luar negara walaupun masih menantikan keputusan Panel Penilaian Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) sama ada mahu mendapatkan semula khidmatnya ataupun sebaliknya.

Jurulatih berpengalaman itu merupakan antara sebahagian barisan kejurulatihan skuad negara yang tidak disambung kontrak bulan lalu.

Panel Penilaian KHM akan menilai semula prestasi jurulatih terlibat dan akan mengadakan satu sesi temu duga sebaik Liga Hoki Malaysia (MHL) tamat.

Seandainya keputusan itu tidak memihaknya, Lailin mungkin akan kembali ke majikannya, Tenaga Nasional Berhad (TNB), bagi menguruskan pasukan di peringkat kelab.

"Saya masih menunggu pihak KHM memberikan kata putus.

"Jika tiada peluang, saya mungkin menyertai skuad pembangunan TNB," katanya.

Ketika ini, tumpuannya adalah untuk membimbing pasukan PKS-Uniten dalam Liga Hoki Wanita Malaysia (LHWM) bagi merampas semula kejuaraan yang diraih pada 2018.

"Kalau kita lihat, peningkatannya begitu ketara.

"Pasukan ini akan dikekalkan untuk beberapa kejohanan lain," tambahnya.



Editor: Muzaffar Musa