Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) bakal menempuh musim paling sukar selepas jurulatih, Muhammad Harun Al-Rashid, menyaksikan pemainnya bergelut ketika tewas 1-0 di tangan Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam aksi persahabatan menjelang pusingan pertama Piala Tan Sri P. Alagendra, esok.

KLHC yang dibarisi lima pemain import gagal mempamerkan aksi meyakinkan.

Juara liga lapan kali itu masih mencari keserasian antara pemain tempatan dan import selain hilang khidmat pemain pertahanan, Muhammad Razie Abd Rahim dan pemain tengah, Nabil Fiqri Mohd Noor, kerana masih menjalani kursus latihan asas inspektor polis.

Ia amaran awal bahawa KLHC bakal menempuh musim sukar, apatah lagi juara bertahan, Terengganu Hockey Team (THT), berjaya memancing beberapa pemain import ternama selain Maybank dan Universiti Kuala Lumpur (UniKL).

"Jelaskan ia bakal menjadi musim sukar buat kami seperti tahun lalu.

"Kami masih belum mengetahui kekuatan lawan sementara kami pula masih dalam fasa membentuk sebuah pasukan dengan kehadiran beberapa pemain import baru.

"Selebihnya kami akan diperkuatkan oleh pemain yang sama," kata Muhammad Harun.

Dalam aksi di Stadium Hoki Kuala Lumpur itu, pertahanan TNB, Syed Mohd Syafiq Syed Cholan, meledak gol kemenangan pada separuh masa pertama.

TNB menyasarkan satu trofi musim ini walaupun masih mengekalkan tradisi tidak menggunakan khidmat pemain import.

"Pada saya, ini hanyalah perlawanan persahabatan dan bukannya gambaran sebenar untuk perlawanan Piala Tan Sri P. Alagendra, esok.

"Apatah lagi KLHC masih menunggu kehadiran beberapa pemain import lagi.

"Saya gembira dengan keputusan ini, saya harap pemain akan terus fokus untuk perlawanan esok," kata ketua jurulatih TNB, Mohd Amin Rahim.