KLHC 3 TNB 3

Pakar pukulan sudut penalti Tenaga Nasional Berhad (TNB), Shahril Saabah, memusnahkan impian Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) untuk kekal berada di takhta Liga Perdana Hoki Malaysia (MHL-TNB) apabila meledak gol penyamaan pada hujung permainan untuk seri 3-3 di Stadium Hoki Kuala Lumpur, malam ini.


Skuad kendalian Mohd Amin Rahim, TNB, turun sebagai pasukan bukan pilihan, apatah lagi ketinggalan dua gol pada awal permainan.

Penyerang KLHC, Anton Ebeling, menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-14, sebelum pemain kebangsaan, Rashid Baharom, mengukuhkan kedudukan skuad itu pada minit ke-19.

TNB tidak mengaku kalah dan merapatkan kedudukan menerusi Mohd Najib Abu Hassan tiga minit kemudian, disusuli gol penyamaan hasil pukulan penalti yang disempurnakan Mohd Azammi Adabi pada minit ke-38.

Selepas itu, KLHC kembali di depan apabila pemain tengah import, Casey Hammond, menyambar bola lantunan semula untuk menjadikan kedudukan 3-2.

Ketika skuad itu di ambang kemenangan, TNB dihadiahkan pukulan sudut penalti. Shahril kemudian muncul wira apabila meledak gol penyamaan untuk membantu TNB meraih satu mata.

"Saya mengucapkan tahniah kepada pemain. Kalau kita lihat, pemain beraksi dengan sepenuh hati dan inilah hasilnya.

"Kami tahu KLHC adalah pasukan teratas dalam liga dan kami berusaha untuk mencuri mata daripada mereka. Maka, saya rasa pemain saya melakukan dengan baik malam ini," kata Mohd Amin.

Sementara itu, jurulatih KLHC, Muhammad Harun Al-Rashid Samri, berkata: "Pemain telah memberikan yang terbaik tetapi mungkin bukan rezeki kami. Jadi kami harus bangkit dalam perlawanan akan datang."

Kekalahan itu memaksa KLHC menyerahkan takhta liga kepada Pasukan Hoki Terengganu (THT) yang menewaskan TNB Thunderbolt 3-0 di Stadium Hoki Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, petang tadi.

Bagaimanapun, kedudukan THT dan KLHC hanya dibezakan dengan jumlah jaringan dengan kedua-dua pasukan berkongsi 30 mata.

Keputusan hari ini:-

THT 3 TNB Thunderbolt 0
KLHC 3 TNB 3
UniKL 1 Maybank 4
UiTM-KPT 1 SSTMI 1