Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) memberi bayangan bahawa tuan rumah Sukan SEA 2019, Filipina, lebih cenderung untuk menyenaraikan hoki dalam dewan yang popular dalam kalangan negara Asia Tenggara yang lain berbanding hoki padang.

Sebelum ini, Filipina pernah tiga kali menjadi tuan rumah Sukan SEA pada 1981, 1991 dan 2005 serta kesemuanya menyaksikan sukan hoki tidak pertandingkan.

KHM masih akan meneruskan rayuan rasmi menerusi Majlis Olimpik Malaysia (MOM), namun tetap berpandangan hoki dalam dewan akan menjadi antara prospek utama bagi tuan rumah.

Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 menjadi bukti Filipina lebih terarah untuk memberi keutamaan kepada aksi hoki dalam dewan lelaki dan wanita setelah tidak menghantar wakil dalam acara hoki padang.

"Sudah pasti Malaysia akan menyokong, tiada masalah kerana kami juga memiliki skuad hoki dalam dewan tetapi sebagai ahli dalam Sukan SEA, saya yakin KHM akan menyokong agar sukan hoki padang dipertandingkan," kata Timbalan Presiden KHM, Prof. Datuk Dr. S. Shamala.

Bagaimanapun, KHM akan terus melobi dengan mengharapkan negara yang mempunyai pasukan hoki padang seperti Thailand, Indonesia dan Singapura akan bersama-sama memastikan acara itu akan terus dipertandingkan dalam temasya Filipina 2019 nanti.

Hoki padang kembali dipertandingkan pada 2013 di Myanmar, selepas dua edisi sebelum itu di Laos pada 2009 dan Indonesia 2011 menyaksikan sukan tersebut digugurkan tuan rumah.

"Saya rasa kali ini merupakan situasi yang serupa ketika Sukan SEA sebelum ini. Secara keseluruhan, jika dilihat pembangunan di Thailand, Indonesia dan Singapura, ia menunjukkan perkembangan yang bagus.

"Jadi, saya yakin negara-negara ini akan bekerjasama untuk acara hoki diadakan," katanya lagi.