Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) akan mengemukakan bantahan rasmi kepada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) selepas timbul isu kemungkinan skuad negara tidak boleh beraksi dalam pusingan keempat atau akhir Liga Hoki Dunia di India, Disember ini.

Aksi final Liga Hoki Dunia 2017 pada hujung tahun ini menawarkan lapan penyertaan buat semua pasukan yang bertanding.

Ia dipilih melalui empat pasukan terbaik dalam aksi di Johannesburg dan tiga pasukan terbaik daripada kejohanan di London.

Walaupun syarat itu telah dimuktamadkan sejak awal dan Malaysia baru sahaja memasuki peringkat separuh akhir, situasi itu jelas menimbulkan rasa tidak puas hati KHM.

“Mereka (FIH) mengatakan hanya tiga pasukan yang dibenarkan bermain dalam pusingan keempat Liga Hoki Dunia kerana India akan beraksi sebagai tuan rumah walaupun tewas dan menyebabkan kemungkinan Malaysia kehilangan slot untuk turut serta,” kata Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal.

Subahan juga memuji aksi cemerlang skuad kebangsaan apabila melayakkan diri ke separuh akhir selepas menewaskan India 3-2, semalam.

“Kemenangan itu benar-benar membuatkan saya tersentuh kerana pemain-pemain membuktikan mereka bukan bermain kerana wang, sebaliknya berjuang untuk negara,” katanya.